OGOS 2018

Pemimpin akar umbi salah guna kuasa akan berdepan tindakan – Talib Zulpilip


SARIKEI: Pemimpin masyarakat perlu lebih proaktif membantu kerajaan memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan masing-masing siap dengan sempurna.

Malah sebagai mata dan telinga kerajaan, mereka perlu lebih tegas dalam memantau projek demi manfaat rakyat.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, kerajaan negeri tegas dengan pendirian dan tidak akan bertolak ansur terhadap pemimpin akar umbi yang menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan sendiri.

“Sebagai individu berpengaruh dan dihormati masyarakat, mereka perlu mengelak daripada sebarang salah laku yang boleh mencemar nama baik diri sendiri,” katanya pada program Integriti Pemimpin Bersama Masyarakat di Pusat Inovasi Sarikei (SIC) di sini.

Program yang dihadiri seramai 180 peserta itu merupakan sebahagian inisiatif bagi membantu kerajaan dalam membasmi segala bentuk perlakuan rasuah serta menyalahi etika integriti.