OGOS 2018

Program Korban Perdana di Masjid Al-Mutaqqin, 32 ekor lembu ditumbang


SARIKEI: Sebanyak 32 ekor lembu ditumbangkan dalam Program Korban Perdana sempena sambutan Aidiladha di perkarangan Masjid Al – Mutaqqin di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 29 ekor lembu disumbangkan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei (LAKISTRI) manakala tiga ekor lagi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Program anjuran Jawatankuasa Tetap Perayaan- Perayaan Islam Sarikei itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 penduduk yang mewakili pelbagai agensi dan pertubuhan.

Hadir sama Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab, Residen Bahagian Sarikei, Mohd Junaidi Mohidin dan Timbalan Residen, Abang Porkan Budiman.

Program yang bermula pada jam 6.30 pagi itu turut disertai Rando Bahagian Sarikei, Pejabat Daerah Sarikei, Majlis Daerah Sarikei, Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jawatankuasa Masjid dan Surau, Persatuan Cina Islam Sarikei dan Saudara Baru Sare, Muara Payang termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N41 dan N45 Repok.

Daging korban kemudiannya diagihkan kepada seramai 415 orang asnaf.

Dalam pada itu, Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang turut menyaksikan majlis penyerahan projek naiktaraf Masjid Al-Mutaqqin yang bernilai RM250,000 antara kontraktor dan jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei di samping penyerahan surat siap kerja antara JKR dan Ketua Eksekutif LAKISTRI.