SEPTEMBER 2018

Kerajaan negeri peruntuk RM10 juta laksana projek tukun tiruan ‘reef ball’


TANJUNG MANIS: Kerajaan Negeri memperuntukkan dana RM10 juta bagi melaksanakan projek tukun tiruan ‘reef ball’ di sepanjang perairan Pantai Belawai-Paloh sejak 20 tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dana itu digunakan oleh agensi pelaksana projek berkenaan iaitu Sarawak Forestry Corporation Sdn. Bhd (SFC) untuk membeli, mengangkut dan menanam tukun reef ball di perairan Kuala Rajang.

Katanya, usaha itu diteruskan apabila sebanyak 600 lagi tukun reef ball dilancarkan dan ditanam di persisiran pantai Kuala Rajang dan Kuala Paloh.

“Projek ini akan memberi faedah kepada nelayan di kawasan ini termasuk persekitaran laut di Perairan Laut Kuala Rajang.

“Tukun reef ball bukan sahaja mewujudkan habitat untuk ikan malahan dapat melindungi habitat pembiakan hidupan laut dari ancaman aktiviti dan amalan perikanan yang memudaratkan ekosistem persisiran laut seperti aktiviti pukat tunda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan simbolik perasmian menanam Tukun Reef Ball di Perairan Laut Kuala Rajang di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 800 juta peruntukan dana keseluruhan bagi tujuan menanam tukun tersebut dari Tanjung Datu di Bahagian Kuching hingga ke Lawas.

“Projek ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat untuk memastikan ia berjalan lancar,” katanya.