SEPTEMBER 2018

Pesta Belawai tarik lebih 10,000 pengunjung


TANJUNG MANIS: Pesta Belawai 2018 mencatat kejayaan apabila berjaya menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung sepanjang acara itu berlangsung sejak 30 Ogos lalu.

Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang berkata, secara keseluruhan jawatankuasa penganjur berpuas hati dengan perjalanan pesta berkenaan.

Malah katanya, pihaknya bangga apabila Pesta Belawai 2018 menerima kehadiran pengunjung dengan jumlah melebihi daripada sasaran sebenar.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua ahli jawatankuasa yang berkerja kerja keras bagi memastikan kejayaan pesta ini,” katanya.

Beliau berkata, penganjur menyediakan sebanyak 164 gerai jualan untuk memberi peluang kepada peniaga setempat menambah pendapatan di samping mempromosikan produk masing-masing kepada pengunjung.

Selain pentas hiburan katanya, pesta turut diserikan dengan aktiviti pelbagai aktiviti utama seperti pertandingan memancing, zumba, pertandingan karaoke kilauan emas, pertandingan Ratu, mewarna, bermukun, bot laju dan pertunjukan layang-layang.

“Buat pertama kalinya, penganjur memperkenal Larian Pantai Belawai. Program yang mendapat sambutan luar jangkaan ini mungkin akan menjadi acara tahunan pada masa akan datang,” katanya.