SEPTEMBER 2018

Lan Berambeh 2018 tampil pelbagai program menarik, 20 Oktober


KUCHING: Dengan Konsep Dari Belia Kepada Belia, Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2018 akan diadakan pada 20 Oktober ini di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur.

Ini adalah tahun ke-10 program yang mengumpul anak-anak Sarawak dari seluruh Semenanjung ini diadakan sejak pertama kali diadakan pada 2008.

LBAS 2018 yang akan dianjurkan Sarawak Volunteers dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak, akan turut melibatkan anak-anak Sarawak yang berjaya dalam bidang masing-masing, mencakupi bidang profesional, keusahawanan, sosial dan sebagainya.

Pengisian LBAS 2018 termasuk Konvensyen Anak Muda Sarawak, sebagai wadah untuk mereka memberi pandangan dan idea kepada pembangunan Sarawak serta sesi Townhall secara santai bersama YAB Ketua Menteri Sarawak.

Turut diadakan Forum Anak Muda Sarawak dengan menampilkan anak-anak muda yang berjaya, yang akan berkongsi pengalaman kejayaan masing-masing serta sesi interaktif bersama kepemimpinan negeri Sarawak mengenai isu semasa.

Penganjur juga akan menjemput ahli akademik, ahli sejarah, pakar perlembagaan dan pihak berkepentingan untuk memberi penerangan mengenai perjuangan Kerajaan Sarawak dalam mendapatkan kembali hak-hak Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah terhakis.

LBAS telah menjadi satu program berjenama, yang mana ia berjaya menarik kehadiran puluhan ribu anak Sarawak dari pelbagai latar belakang di Semenanjung, terdiri dari siswa-siswi, badan bukan kerajaan (NGO) dan anak-anak Sarawak yang menetap di Semenanjung.

LBAS juga berjaya melahirkan ramai anak-anak muda berkebolehan melalui pelbagai program dan pengisian sampingan seperti Konvensyen Mahasiswa Sarawak, Kursus Kepimpinan Mahasiswa Sarawak dan Career Drive Anak Sarawak.

Seperti tahun-tahun sebelumnya Pameran oleh jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta, NGO dan individu akan turut diadakan.

Kemuncak program LBAS 2018 ialah Majlis Makan Malam Anak Sarawak yang akan dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan barisan kepimpinan negeri bersama anak-anak Sarawak di Semenanjung.

Pada tahun ini, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjadi penganjur program. - Jiwa Bakti.