SEPTEMBER 2018

Permohonan rakyat ditunai, RM2.5 juta dilulus atasi masalah air di Selalang


SARIKEI: Sejumlah RM2.5 juta diluluskan bagi mengatasi gangguan bekalan air yang kerap dialami penduduk di kawasan Selalang.

Permohonan berhubung perkara itu dikemukakan oleh penduduk sebelum ini dan mendapat perhatian Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Peruntukan yang disalurkan melalui Kementerian Kemudahan Awam itu akan dimanfaatkan untuk mengatasi beberapa masalah teknikal termasuk menggantikan paip ‘asbestos’ kepada poly yang lebih berkualiti dan tahan lama.

“Projek berkenaan bakal memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk bukan sahaja kampung Selalang tetapi juga kawasan sekitarnya.

“Usaha ini juga membuktikan kerajaan negeri mendengar masalah rakyat dan sentiasa melakukan yang terbaik untuk mengatasinya.

“Tender bagi projek ini akan dikeluarkan tidak lama lagi. Sehubungan itu, saya berharap penduduk bekerjasama bagi memastikan projek naik taraf ini berjalan lancar dan siap mengikut jadual,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang.