SEPTEMBER 2018

Pestabola Merdeka Bako Hulu akan dianjur dalam skala besar – Dr Hazland


SABTU: Pestabola Merdeka Bako Hulu akan diadakan pada skala yang lebih besar pada masa akan datang, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Hipni.
Beliau memberitahu demikian semasa majlis penutupan Pestabola Merdeka Kampung Bako Hulu di sini, semalam.
Sebanyak 6 pasukan lelaki dan dua pasukan wanita mengambil bahagian dalam kejohanan selama dua bulan ini.
Menurut Dr Hazland, pihaknya di Pusat Khidmat DUN Demak Laut bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Seberkas, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Bako Hulu menganjurkan pertandingan ini atas minat di samping mengukuhkan perpaduan yang sedia ada di kalangan penduduk kampung.
“Saya menyokong penganjuran pertandingan seperti ini di kalangan penduduk atas minat mendalam terhadap sukan bola sepak.
“Di samping itu, saya yakin dan percaya pertandingan ini berjaya mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk,” ujarnya.
Pada perlawanan akhir itu, pasukan Yunan FC muncul juara selepas mengalahkan pasukan Nyulong FC dalam perlawanan akhir yang disaksikan kira-kira 1,000 orang.
Sementara itu, bagi wanita pasukan Wanita Seberkas Bako Hulu (Biru) dinobatkan sebagai juara apabila berjaya mengalahkan pasukan Wanita Seberkas Bako Hulu (Merah) dalam perlawanan persembahan.
Turut sama hadir Penghulu Bako, Janibah Hazemi, Ketua Kaum Kampung Bako Hulu, Wahed Sani dan Ketua-ketua Seberkas, KRT dan PBB Kampung Bako Hulu.