KUCHING: Dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, bahawa parti itu akan membawa suara rakyat Sarawak dalam memastikan autonomi serta hak negeri dihormati, jika PKR menerajui pentadbiran Sarawak adalah satu lagi pembohongan secara terang-terangan.
Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, ini kerana parti yang sama berjanji dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) termasuk berjanji memenuhi permintaan Sarawak untuk mendapatkan 20 peratus royalti minyak dan gas.
Namun kata Fadillah yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen berkata, namun Timbalan Presiden parti itu sendiri yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, ketika menjawab soalan di Parlimen menyatakan bahawa negeri pengeluar minyak termasuk Sarawak hanya akan mendapat 20 peratus royalti daripada keuntungan bersih bukan dari pengeluaran kasar.
Menurut Fadillah yang juga Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya, Azmin juga berkata ia tidak boleh dilaksanakan segera kerana pelaksanaannya bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang memperuntukkan pengiraan adalah berdasarkan keuntungan kasar dan bukan keuntungan bersih.
Sebelum itu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata kerajaan PH akan memberikan 20 peratus royalti berasaskan keuntungan sebagai tambahan kepada lima peratus sedia ada. Namun Azmin ketika menjawab soalan di Parlimen sehari selepas itu menafikan angka lima peratus berasas pengeluaran kasar dikekalkan, sebaliknya cuma 20 peratus berasas keuntungan akan diberikan, kata Fadillah.
Menurut Fadillah, bagaimanapun dalam kenyataan terkini Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd Radzi Md Jidin pula berkata, cadangan pemberian royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar akan menyebabkan Petronas rugi.
“Jelas kata putus sukar dicapai oleh pemimpin PH berhubung isu royalti itu walaupun ia dijanjikan dalam manifesto PRU-14 dan mereka memberikan pelbagai alasan untuk tidak memenuhi janji dalam manifesto.
“Jika janji PRU pun mereka berani mungkiri selepas menang, dengan pemimpin PKR dan DAP Sarawak hanya berani menjadi pak turut dalam perkara yang tidak memihak kepada Sarawak, apakah kita boleh percaya pada janji baharu yang dibuat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kerana kuasa adalah dipihak Kerajaan Pusat?
“Seronok melihat parti-parti politik berpangkalan di Semenanjung yang semakin berebut-rebut membuka lebih banyak cawangan di Sarawak dengan dakwaan kononnya mereka akan menjadi suara perjuangan rakyat Sarawak.
“Namun apakah sebenarnya perjuangan dan motif mereka? Ibarat sudah terang lagi bersuluh, selepas mendapat kuasa di peringkat Pusat pun mereka gagal memenuhi janji. Apa lagi yang hendak diharapkan jika mereka menang PRN Sarawak,” katanya.
Sedang Kerajaan Sarawak dari Allahyarham Tok Nan lagi dan kini diteruskan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sangat lantang dalam memperjuangkan hak dan autonomi negeri Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 963 (MA63). Malah Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Penurunan Kuasa antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga sudah ditubuhkan sejak 2016 dipengerusikan oleh Datuk Seri Nancy Shukri dan Datuk Seri Anifah Aman. Kerajaan Negeri juga sanggup menghantar Wakil Ke London untuk mengkaji MA63.
Kata Fadillah, parti berpangkalan di Semenanjung tidak berbuat apa-apa pun setakat ini dalam soal memperjuangkan hak-hak Sarawak selain hanya berjanji bulan dan bintang.
“Mereka pernah berjanji pada PRU-14 dan kita dah lihat sendiri apa kesannya pada Sarawak. Kita percaya menjelang PRN Sarawak tidak lama lagi mereka akan menaburkan lebih banyak lagi janji,” katanya.
Malah Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa mereka, Pakatan Harapan, terlalu banyak berjanji tanpa menilai sejauh mana ia dapat dilaksanakan dan kesannya kepada ekonomi negara. Sedangkan sebelum pilihan raya, mereka dengan yakin dapat menunaikan semua janji manifesto mereka.
“Justeru, rakyat Sarawak harus mengambil iktibar daripada janji PRU-14 yang mereka buat sebelum terpedaya dengan janji PRN Sarawak yang dibuat oleh PKR dan DAP.
“Kita juga harus ingat Rafizi juga secara lantang dan beria-ia berjanji nak hapuskan tol dan turunkan harga minyak. Sekarang kita dah lihat sendiri sejauh mana kata-kata Rafizi boleh dipercayai.
“Kita juga ingin tahu, bila Rafizi bercakap mengenai autonomi PKR Sarawak apakah yang dimaksudkan beliau wilayah autonomikah atau kerajaan autonomikah atau Negara Sarawakkah?,” kata Fadillah.