MATU: Ibu Yahya Ali, 24, tidak menyangka operasi terakhir yang disertai anaknya di Lombong Taman Putra Perdana Berhampiran Perumahan Lokatish, Selangor, semalam berakhir tragedi.
Halimah Geronggong, 42, dari Kampung Tian berkata, dia dimaklumkan berhubung kejadian menyedihkan itu pada jam 12.30 malam semalam.
Katanya, dia amat terkejut selepas mendengar berita itu kerana arwah pernah menghubunginya untuk bertanya khabar sehari sebelum kejadian.
“Dalam perbualan terakhir pada Selasa lalu, Allahyarham sempat bertanya khabar kami sekeluarga.
“Ketika itu, tidak ada sebarang perubahan. Dia berbual-bual dengan saya seperti biasa,” katanya.
Menurut Halimah, anak sulung daripada empat beradik itu berhasrat untuk menjadi anggota Bomba sejak kecil lagi.
Katanya, impian anaknya itu akhirnya kesampaian selepas lulus temuduga dan secara rasminya menjadi anggota Bomba pada tahun 2014.
“Selain aktif bersukan, dia juga seorang anak yang baik, peramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.
“Saya akui masih terkejut tetapi kami sekeluarga tetap redha dengan ketentuan Allah,”jelasnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen P207 Igan, Ahmad Johnie juga sempat meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham pagi tadi.
Sambil menyifatkan tragedi itu sebagai amat menyedihkan, beliau sempat mengucapkan takziah kepada mangsa dan berharap mereka bersabar menghadapi dugaan.