OKTOBER 2019

1,866 Pemain Dari 19 Negara Berkampung Di Kuching


KUCHING: Seramai 1,866 pemain akan beradu nasib memburu kejuaraan pada Kejohanan Badminton Master Dunia Ke-26 pada 31 Oktober ini hingga 3 November depan di bandaraya ini.

Dengan Malaysia selaku tuan rumah menyenaraikan paling ramai pemain iaitu 780 orang.

Sementara, China (645 orang), Taiwan (135 orang), Indonesia (85 orang), Hong Kong (50 orang), Singapura (45 orang), Australia (32 orang), Thailand (26 orang), Brunei Darussalam (23 orang), Jepun (8 orang), Korea Selatan (9 orang) Amerika Syarikat (6 orang), Kanada (5 orang), New Zealand (5 orang), Sri Lanka (4 orang), United Kingdom (3 orang), Macau (3 orang) selain Jerman dan Afrika Selatan masing-masing menyenaraikan seorang pemain.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia Dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kejohanan selama empat hari itu menghimpunkan ramai bekas jaguh dunia.

Antaranya, Taufik Hidayat, Icuk Sugiarto (Indonesia), James Chua, Ong Wee Hock (Sarawak), Tan Boon Heong dan ramai lagi.

“Sebanyak 2, 900 perlawanan dilangsungkan sepanjang empat hari kejohanan itu.

“Dan inilah peluang peminat tempatan menyaksi kembali kelibat bekas pemain handalan dunia beraksi,” katanya pada sidang media.

Sambil menambah kejohanan akan berlangsung di dua gelanggang iaitu Stadium Perpaduan, Petra Jaya dan Arena Serbaguna (Boling Padang), Petra Jaya.

Hadir sama pada sidang media itu, Menteri Muda Sukan, Datuk Snowdan Lawan, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Dr Ong Kong Swee serta beberapa wakil jawatankuasa pengelola kejohanan.

Terdahulu, Abdul Karim bersama rombongan turut meninjau kerja-kerja menaiktaraf gelanggang serbaguna terbabit yang menelan kos sebanyak RM3 juta dan mempunyai 20 gelanggang.

Sumber dari: Sarawakku