OKTOBER 2019

Anak Sarawak Jadi Duta Besar Malaysia Ke Peru


KUCHING: Duta Besar Malaysia ke Peru yang baharu dilantik, Fenny Nuli akan berusaha meneroka lebih banyak peluang mempromosikan Malaysia dan negeri kelahirannya, Sarawak di negara Amerika Latin berkenaan, terutama di dalam bidang pelancongan.

Anak jati Sarawak dari etnik Iban itu berkata ini akan menjadi sebahagian daripada usahanya untuk menggalakkan lagi perdagangan dua hala antara kedua-dua negara, yang kini berjumlah kira-kira RM300 juta.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di pejabatnya di Wisma Bapa, Petra Jaya, di sini, semalam.

Fenny, 48, yang berasal dari Sri Aman, menjawat jawatan Timbalan Ketua Misi di Pejabat Kedutaan Malaysia di Brussel, Belgium sejak 2016, sebelum melakar sejarah sebagai wanita Iban pertama dilantik menyandang jawatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Peru.

Beliau menerima watikah pelantikannya daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 3 Okt lepas dan akan berlepas ke Peru, bulan hadapan.– BERNAMA

Sumber dari: Suara Sarawak