FEBRUARI 2021

116 Rumah Panjang Tidak Dikenakan Sekatan Pergerakan, Ujian Saringan Kedua Negatif


SIBU: Sebanyak 214 rumah panjang di seluruh negeri ini dikenakan perintah pelaksanaan sekatan pergerakan dalam usaha Kerajaan Sarawak memerangi penularan pandemik Covid-19.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, daripada jumlah itu, sebanyak 116 rumah panjang tidak lagi diletakkan dalam sekatan pergerakan selepas ujian saringan kedua didapati negatif.

"Manakala, sebanyak 98 rumah panjang masih diletakkan dalam sekatan pergerakan," ujarnya menerusi Facebook Live yang dihoskan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting, petang tadi.

Timbalan Ketua Menteri itu memberitahu, JPBNS melaksanakan sekatan pergerakan sekiranya kes Covid-19 dikesan di rumah panjang.

"Sekatan pergerakan tersebut untuk membolehkan pengesanan kes secara aktif dijalankan bagi mengesan jangkitan di rumah-rumah panjang yang terlibat," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk rumah panjang yang terjejas agar bersabar dan sentiasa mematuhi arahan sekatan kerana usaha tersebut untuk mengekang penularan pandemik itu.

"Bukan niat kerajaan untuk menyusahkan rakyat dengan melaksanakan sekatan pergerakan. Ini untuk kebaikan anda sendiri. Apabila virus merebak, ia sangat sukar untuk dibendung," katanya.

Uggah turut menasihati penduduk rumah panjang supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menghadiri upacara pengebumian.

“Pematuhan ini penting berikutan beberapa kluster dikesan wujud selepas upacara pengembumian,” ujarnya lagi.

Di Miri, Kluster Seruas wujud selepas 72 kes dikesan dari rumah panjang setelah penduduk menghadiri upacara pengebumian pada 25 hingga 27 Januari lalu.

Sementara, Kluster Gelong di Kapit telah menjangkiti 14 individu setakat ini setelah kluster tersebut diumumkan oleh JPBN Sarawak semalam.

Kluster Pasai pula merupakan kluster jangkitan Covid-19 aktif terbesar di negeri ini wujud setelah 38 individu menghadiri upacara pengembumian di Rumah Langi @ Ambau Douglas di Pasai Siong dari 29 hingga Disember tahun lalu.

Sehingga kini, Kluster Pasai telah menjangkiti seramai 2,585 individu.

Turut menyertai sesi Facebook Live ialah Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai, Presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu, Chambai Lindong, Ahli Dewan Rakyat, Senator Robert Lau Hui Yew dan Ahli Majlis MPS, Kaunselor Augustine Merikan.

Sumber dari : Jiwa Bakti