JULAI 2020

15 Buah Syarikat Dilantik Pembekal Barang Kawalan Di Hulu Rajang


KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 buah syarikat telah dilantik sebagai pembekal di bawah Program Penyeragaman Harga bagi kawasan Hulu Rajang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, syarikat-syarikat terbabit bertanggungjawab untuk membekalkan barang kawalan di kawasan tersebut.

"Jenis barangan kawalan yang dibekalkan di bawah program tersebut adalah seperti barang perlu (beras, gula putih, minyak masak paket 1kg dan tepung gandum kegunaan am), gas petroleum cecair (LPG) 14kg dan Petrol RON95 dan diesel secara 'Community Drumming'," katanya menerusi jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong dalam persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Sementara itu, beliau juga berkata, terdapat dua buah stesen minyak yang sedang beroperasi di Pekan Kapit.

"Stesen minyak tersebut adalah stesen minyak jenama Petronas, Chop Tan Bian Seng dan stesen minyak Tan Bian Seng Sdn Bhd di bawah kategori 'Unbranded Mini Station' (UMS)," jelasnya. -EDISI UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak