JULAI 2020

Minyak, Gas Sarawak Penyumbang Terbesar KDNK


KUCHING: Dijangkakan dengan pelaksanaan program industri petrokimia dan ekonomi lain pendapatan isi rumah di Sarawak akan meningkat.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dengan peningkatan itu, Sarawak tidak lagi diistilah sebagai Negeri Kaya Tapi Miskin menjelang 2030.

Katanya, antara tumpuan ekonomi Sarawak pasca-COVID-19 ialah membangunkan industri petrokimia dengan hubnya di Tanjong Kidurong Bintulu.

“Di kawasan 1,000 ekar (0.4 hektar) diperuntukkan untuk hub ini dan kerja-kerja penyediaan tapak membangunkan sebuah kilang menthanol membabitkan kos RM3.74 bilion sedang giat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 Peringkat Negeri Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak (baharu) Petra Jaya, Kuching, pagi ini.

Abang Johari berkata, untuk itu sebuah syarikat antarabangsa juga telah mengesahkan akan melabur RM24 bilion (USD 6 bilion) di hub berkenaan.

“Industri hiliran minyak dan gas ini dijangkamemberi peluang pekerjaan kepada 74,000 orang secara langsung dan tidak langsung,” jelasnya.

Abang Johari berkata, tidak dapat dinafikan bahawa Sarawak adalah antara penyumbang terbesar kepada Keluar Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 10 peratus.

Menurutnya, pada 2019, KDNK Sarawak dianggarkan sebanyak RM136.05 bilion dengan pendapatan per kapita sebanyak RM53, 317.

“Statistik nampak membanggakan, namun realitinya pendapatan isi rumah di Sarawak masih rendah, iaitu RM5,218 pada 2019.

“Hasil minyak dan gas Sarawak adalah penyumbang besar kepada pendapatan negara namun, secara puratanya pendapatan isi rumah masih rendah kerana industri minyak dan gas Sarawak tidak menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi kepada anak Sarawak.

“Sarawak harus meneliti kepincangan ini dengan lebih teliti dan secara lebih mikro dan mengambil tindakan untuk memperbetulkan keadaan ini,” ujarnya lagi.

Sumber dari : Jiwa Bakti