NOVEMBER 2019

467 Anggota Baharu Untuk Melaksana Program Ukur Tanah Adat


KUCHING, Khamis: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) akan merekrut 467 orang anggota baru untuk tujuan mengukur tanah terutamanya NCR di bawah inisiatif baharu melibatkan survei perimeter, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari Tun Openg hari ini.

JTS telah memohon pertambahan anggota dan diluluskan memandangkan begitu berat beban tugas jabatan, ujar Datuk Patinggi Abang Jo ketika berucap menangguhkan Forum Kanun Tanah Negeri (Pindaan 2018) di sini.

Forum ini yang dihadiri hampir 1,000 orang terdiri daripada Ketua Kaum, Ketua Masyarakat, ahli-ahli NGO, pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin pendapat merupakan ketiga selepas sessi serupa di Miri dan Sibu.

Datuk Patinggi Abang Jo juga menyatakan peruntukan sebanyak RM40 juta telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri untuk tujuan program mengukur perimeter tanah adat tahun ini.

Beliau menjelaskan tanah adat yang diukur perimeter akan diberi surat hakmilik "communal" di bawah Seksyen 6 KTN untuk menetapkan persempadanan antara NCR dan tanah kerajaan dan mengelakkan tuntutan bertindih antara kumpulan-kumpulan yang menuntut.

Beliau menyangkal dakwaan dan dakyah-dakyah yang menuduh pengukuran tanah adat di bawah Seksyen 6 KTN adalah tipu muslihat Kerajaan untuk merampas tanah rakyat.

"Untuk apa Kerajaan mengambil tanah rakyat; kecuali untuk tujuan umum seperti membina sekolah; itupun dibayar pampasan," jelas Datuk Patinggi Abang Jo.

Beliau menyatakan selepas diukur di bawah Seksyen 6 proses seterusnya ialah untuk mengukur lot-lot individu mengikut peruntukan Seksyen 18 KTN.

Selain Seksyen 6 dan Seksyen 18, Seksyen 5 KTN juga penting kerana peruntukan tersebut memberi pengiktirafan kepada tanah adat bumiputera, ujar Datuk Patinggi Abang Jo.

Turut berucap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embad yang juga Menteri Pertanian, Tanah Adat dan Pembagunan Wilayah dan Menteri Kewangan Kedua.

Antara yang hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Menteri-Menteri Kabinet yang lain dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.

Sumber dari : Sarawakku