NOVEMBER 2019

Sarawak Sasar Nilai Eksport Sagu RM100 Juta Menjelang Tahun 2025


MUKAH: Kerajaan Sarawak sedia membiayai kajian mendalam berkaitan sisa cecair sagu kerana ia mempunyai potensi besar terhadap makanan haiwan, gas bio dan janaan kuasa elektrik.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kajian mendalam terutamanya ke atas gas bio itu amat penting kerana ia berpotensi besar dalam penghasilan makanan haiwan dan penjanaan elektrik.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Loji Rintis Rawatan Sisa Cecair Sagu bernilai RM10 juta di Kampung Teh, di sini hari ini.

“Bagi tujuan itu, kerajaan Sarawak sedia membiayai kajian tersebut,” jelasnya sambil memberitahu gas jika mengikut hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 adalah milik Sarawak.

Ketua Menteri turut memberitahu, Sarawak kini merupakan pengeksport terbesar rumbia, berbanding negara lain.

Untuk itu, katanya lagi, Sarawak menyasarkan nilai eksport sagu sehingga RM100 juta kepada dunia menjelang tahun 2025.

"Secara keseluruhannya, tanaman rumbia di Sarawak ini adalah seluas 40,000 hektar dengan kebanyakannya terletak di Betong (Saribas) dan Mukah," ujarnya.

Menurutnya, Sarawak telah menaiktaraf kajian serta melaburkan peruntukan yang besar dalam bidang pertanian termasuk sagu.

Katanya, Kerajaan Sarawak turut memberikan peruntukan bagi akses jalan ke ladang sagu dan ia diteruskan untuk tahun hadapan.

“Sarawak mempunyai kelebihan dan pengalaman dalam industri ini berbanding Papua New Guinea dan Indonesia.

"Maka atas sebab itu, kajian dalam industri sagu ini amat penting dan akan diteruskan," ujar beliau.

Sumber dari : Jiwa Bakti