NOVEMBER 2019

Tanah Hak Adat Bumiputera Sarawak Akan Disukat Mengikut Seksyen 18


KUCHING: Mulai tahun hadapan Tanah Hak Adat (NCR) Bumiputera di negeri ini akan disukat mengikut Seksyen 18, Kanun Tanah Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dalam belanjawan 2020 yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 4 Nov lepas, sejumlah RM40 juta diperuntukkan untuk penyukatan tanah adat.

“Beliau (Ketua Menteri) juga telah mengarahkan kawasan yang perlu disukat selepas ini, harus disukat mengikut Seksyen 18, memberikan Palak Tanah (Surat Hak Milik Tanah) kepada tuan punya tanah satu persatu.

“Palak Tanah akan diberikan tanpa apa-apa bayaran, dan inilah janji Ketua Menteri kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Menteri Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Forum Kanun Tanah (Pindaan) 2018 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Uggah berkata, kerajaan negeri akan membayar pampasan sekiranya tanah milik individu yang disukat mengikut Seksyen 6 sebelum ini, dibangunkan.

“Mereka (pemilik tanah) tidak perlu risau, kerajaan negeri akan membayar pampasan, jika tanah adat itu dibangunkan untuk membina jalan raya, sekolah, klinik atau untuk kegunaan awam.

“Sehingga kini, kerajaan negeri telah membayar pampasan berjumlah RM37 juta dan Ketua Menteri juga memberikan jaminan bahawa tanah yang disukat mengikut Seksyen 6 sebelum ini, diiktiraf sebagai tanah adat,” katanya.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian sebelum ini dilaporkan berkata, penyukatan tanah mengikut Seksyen 18 memberi kelebihan kepada pemilik, yang mana mereka tidak perlu membayar fi dan surat hak milik tanah dikeluarkan kepada individu, serta tempoh pemilikan yang tiada had.

Sumber dari : Suara Sarawak