APRIL 2021

742 Menara Telekomunikasi Di Sarawak Dijangka Siap 2022


KUCHING: Sebanyak 742 lokasi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar Sarawak akan dibangunkan menara telekomunikasi baharu sebagai usaha menaik taraf liputan internet di bawah Pelan Jalinan Digital Negara Jendela.

Kesemua menara telekomunikasi baharu itu dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2022 dengan penawaran perkhidmatan 4G.

Siaran akhbar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia hari ini menyatakan sebanyak 106 menara mula dibangunkan bulan ini manakala baki pembinaan di 636 lokasi dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2021.

Sebanyak 1,283 stesen pemancar juga telah siap dinaik taraf dengan perkhidmatan 4g pada tahun lepas.

Serta sejumlah 1,606 stesen pemancar lagi sedang dalam proses penaiktarafan bermula tahun ini.

SKMM turut membangunkan inisiatif penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui satelit dimana 523 lokasi di Sarawak telah dikenal pasti dan sedang di peringkat penilaian tender.

Bagi projek jalur lebar talian tetap pula, SKMM menyasarkan sejumlah 43,013 premis di Sarawak akan tersedia dengan akses kepada infrastruktur gentian optik.

Ini bagi membolehkan perkhidmatan jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi.

Sumber dari : TVS