KUCHING: Pengumuman barisan kabinet Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan secara langsung sebentar tadi menyaksikan beberapa pemimpin daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) tersenarai dalam barisan kabinet Persekutuan yang baharu.
Mereka yang tersenarai ialah Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof sebagai Menteri kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Dato Sri Hajah Nancy binti Shukri sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
Turut dilantik Dato’ Hajah Hanifah Hajar Taib sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Haji Hasbi bin Haji Habibollah sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aaron Ago Dagang sebagai Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Henry Sum Agong sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Dato’ Sri Tiong King Sing sebagai Timbalan Menteri Perpaduan.
Dalam pengumuman itu juga, Perdana Menteri turut menamakan dua pemimpin Sarawak dari ‘Blok Bebas’ dalam barisan kabinetnya.
Mereka ialah Ali anak Biju sebagai Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan Willie anak Mongin sebagai Timbalan Menteri 2 Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Kesemua mereka ini akan mengangkat sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di- Pertuan Agong pada hari Selasa, 10 Mac 2020, jam 3 petang di Istana Melawati, Putrajaya.
Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak