SEPTEMBER 2020

Abang Jo Serah Cek RM6.75 Juta Kepada DBNA: Saya Menunaikan Janji Saya


KUCHING: Petang tadi YAB Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari Tun Abang Haji Openg menyerahkan cek untuk geran Kerajaan Negeri bernilai RM6.75 juta kepada Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di suatu majlis bertempat di Ibu Pejabat DBNA di sini.

Peruntukan tersebut adalah untuk membiayai sebahagian kos berjumlah RM16 juta untuk membina kompleks penginapan komuniti DBNA di tempat sama seperti yang dimohon oleh persatuan tersebut.

Datuk Patinggi Abang Haji Zohari menyatakan beliau telah berjanji pada tahun lepas untuk menyediakan peruntukan untuk tujuan tersebut seperti yang dimohon oleh DBNA.

“Saya datang hari ini untuk menunaikan janji saya.

“Selebihnya akan ditunaikan dalam masa enam bulan lagi,” jelas beliau.

Beliau memuji perpaduan kaum Bidayuh dalam usaha mempertingkatkan status sodio-ekonomi kaum berkenaan.

Komuniti Bidayuh kecil tetapi bagaikan cili padi walaupun kecil amat pedas rasanya, ujar beliau.

Turut berucap Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi yang juga penasihat DBNA.

Sumber dari : Sarawakku