SERIAN: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg menghabiskan masa satu hari suntuk dalam lawatan kerja ke bandar yang berikonkan buah durian.
Pagi tadi beliau telah memulakan program dengan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Projek Pembangunan Negeri Ke-11 di sebuah hotel terbaharu di sini.
Selepas selesai mesyuarat beliau telah menghadiri majlis jamuan tengahari bersama masyarakat di sini di mana beliau telah menyampaikan ucapan.
Beliau melahirkan rasa puashati dengan tahap perlaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan di Bahagian Serian.
Beliau menyifatkan bandar ini sudah mula mengorak langkah untuk mengejar pembangunan seperti yang berlaku di bandar-bandar besar sejak kawasan tersebut diangkat status menjadi Bahagian.
“Saya kagum Serian sudah ada hotel yang agak tinggi tarafnya dan ini menunjukkan bandar ini sudah mampu menarik minat pelabur,” ujar beliau.
Sejurus selepas jamuan tersebut beliau telah melawat beberapa tapak projek di sini untuk meninjau perkembangan kerja-kerja pembinaan dan mendengar taklimat oleh pihak-pihak yang menguruskan projek.
Tapak-tapak projek tersebut termasuk Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri dan Serian Convention Centre, Loji Pemprosesan Air Slabi dan jejambat kedua Pan Borneo Highway di sini.
Sumber dari : Sarawakku