SEPTEMBER 2020

Peruntukan RM1.5 Bilion Laksanakan 165 Projek Di Wilayah Utara


KUCHING: Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) melaksanakan 165 projek melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion daripada Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan infrastruktur di wilayah tersebut.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, salah satu projek tersebut ialah Lapangan Terbang Lawas yang akan berfungsi untuk menyediakan sambungan udara ke wilayah itu.

Menurutnya, dengan adanya projek jalan pesisir pantai dan disambungkan dengan Rangkaian Jalan Sarawak  akan membantu memacu pertanian dan lima industri pelancongan di rantau ini.

“Hasil pertanian dari kawasan pedalaman di rantau ini akan dapat diangkut ke pusat bandar sebelum diangkut melalui penyambungan udara ke tempat lain.

“Limbang, misalnya destinasi hujung minggu yang popular dalam kalangan pengunjung dari Brunei. Antara tarikannya ialah gunung berapi lumpur yang membentuk mandian lumpur semulajadi dan sejuk yang dinikmati oleh penduduk tempatan serta pelancong. 

“Pelancongan akan bertambah pesat dengan hubungan ini kita dapat mempromosikan kawasan pedalaman yang indah kepada pelancong tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Northern Coastal Highway Assessment LAB di salah sebuah hotel terkemuka di sini pagi tadi.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, Kerajaan Sarawak merancang untuk membangunkan industri hiliran minyak dan gas, khususnya bidang petrokimia serta penapisan petroleum dan gas di Lawas.

Katanya, ia pasti akan menarik pelaburan yang besar ke rantau ini dan pasti akan memberi kesan sosioekonomi yang signifikan kepada Sarawak, terutamanya di wilayah utara. 

“Ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk orang ramai dan menarik banyak industri lain,” ujarnya yang juga Pengerusi NRDA.

Sumber dari : Jiwa Bakti