SEPTEMBER 2020

Abg Jo Lancar Pembinaan Sekolah Antarabangsa Di Semenggok


KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg pagi tadi telah melancarkan pembinaan Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Semenggok, Batu 12, Jalan Penrissen/Serian dekat sini.

Kampus Semenggok ini adalah antara lima buah sekolah antarabangsa berdasarkan syllabus Cambridge yang akan dibina di Sarawak oleh Kerajaan Negeri sebagai pelaburan jangka panjang untuk membangunkan sumber manusia negeri ini.

Empat lokasi lain sekolah tersebut ialah di Petra Jaya, Sibu, Miri dan Bintulu yang akan diurus operasinya oleh Yayasan Sarawak.

Sekolah-sekolah tersebut berkonsepkan sekolah berasrama penuh yang juga bertujuan untuk menyediakan suasana kondusif untuk pembangunan karakter dan sifat kepimpinan para pelajar. 

Semua pelajar cemerlang dari semua kaum dan latar belakang, khususnya dari luar bandar akan dipertimbangkan untuk menimba ilmu di sekolah-sekolah tersebut dengan kuota kepada para pelajar dari keluarga yang berada.

Kerajaan GPS akan menanggung kos dan yuran bagi pelajar-pelajar dari luar bandar dengan kos operasi dianggarkan RM70 setahun untuk lima buah sekolah tersebut. 

Ini merupakan langkah untuk memberi peluang kepada pelajar luar bandar untuk mendapat pendidikan betaraf antarabangsa yang tidak mungkin tercapai oleh mereka tanpa bantuan kerajaan.

Sumber dari : Sarawakku