SIBU: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari Tun Abang Haji Openg pagi ini mengadakan lawatan singkat ke Sibu untuk melancarkan pengagihan bekalan makanan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) di 10 DUN sekitar Sibu yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di kawasan tersebut.
PKP sedang dilaksanakan di Bahagian Sibu yang telah dikategorikan sebagai Zon Merah selama dua minggu bermula pada 16 Januari 2021 hingga 29 Januari.
Berdasarkan maklumat awal daripada JPBB Sibu, KIR yang terjejas di Bahagian Sibu adalah dianggarkan berjumlah 73,000.
Jumlah peruntukan keseluruhan untuk bantuan bekalan makanan di Bahagian Sibu adalah RM5.1 juta.
Sepertimana modus operandi sebelum ini dan bagi memastikan proses pengagihan makanan berjalan dengan lancar, pengagihan makanan akan dilaksanakan dengan kolaborasi bersama pelbagai agensi yang relevan seperti KPDNHEP, Jabatan BOMBA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, ATM, Pihak Berkuasa Tempatan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum/Kapitan, JKKK dan lain-lain jabatan kerajaan dan NGO.
Bekalan makanan akan diagihkan selewat-lewatnya pada hari Rabu, 20 Januari 2021 dengan pematuhan ketat SOP PKP Covid-19.
Kerajaan Negeri dengan kerjasama KPDNHEP akan memastikan stok makanan asas adalah mencukupi.
Jenis-jenis bekalan makanan yang akan diagihkan kepada setiap KIR dengan nilai RM70.00 termasuk
beras (10 kg), gula (2 kg), tepung (1 kg),
Sardin dalam tin (2 tin besar), the atau kopi, minyak masak, biskut kering, dan mee segera.
Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) juga sedang mengagihkan bekalan makanan asas dan keperluan lain seperti susu, lampin pakai buang dan tuala wanita kepada kira-kira 700 keluarga, yang melibatkan 3,800 orang/ahli keluarga di 32 buah rumah panjang.
Selain itu, makanan bermasak juga diagihkan kepada 52 pertugas barisan hadapan di 1 pusat kuarantin dan 46 petugas barisan hadapan yang bertugas untuk mengawal selia sekatan jalan raya di 4 lokasi.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Hajjah Fatimah Abdullah.
Sumber dari : Sarawakku