JANUARI 2021

BKSS 5.0: Kerajaan GPS Sentiasa Cari Jalan Terbaik Bantu Rakyat


KUCHING: Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini memperkenalkan 11 langkah di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 membabitkan peruntukan berjumlah RM405 juta, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang juga Pengerusi GPS berkata, pakej BKSS 5.0 itu diharap membantu meringankan beban seluruh rakyat hingga ke bulan Jun yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan banjir baharu-baharu ini.

“Dalam keadaan yang sukar sekarang, Kerajaan GPS Sarawak sentiasa memikir dan melaksanakan langkah-langkah terbaik untuk membantu rakyat,” katanya pada sidang media khas ‘BKSS 5.0 Meringankan Beban Rakyat’ di sini, hari ini.

Kerajaan Sarawak GPS memutuskan mengurangkan diskaun bil elektrik 5 peratus hingga 25 peratus mulai Januari hingga Jun 2021.

Diskaun ini akan memberi manfaat kepada 642,000 isi rumah di seluruh Sarawak dengan kos keseluruhan diskaun bil elektrik itu berjumlah RN166.2 juta akan dibayar oleh Kerajaan GPS Sarawak, katanya.

Pengguna domestik, komersial dan industri akan diberi diskaun 10 peratus hingga 25 peratus ke atas bil air bulanan mulai Januari hingga Jun 2021.

Katanya, diskaun itu akan memberi manfaat kepada lebih 568,000 isi rumah dengan kos keseluruhan berjumlah RM31.5 juta akan dibiayai Kerajaan GPS Sarawak.

Abang Johari berkata, diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai untuk enam bulan mulai Januari hingga Jun 2021.

“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada lebih 10,000 penjaja yang berdaftar menyewa pasar dan gerai di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan keseluruhan diskaun berjumlah RM1.6 juta akan dibiayai oleh Kerajaan GPS Sarawak,” katanya.

Kerajaan GPS Sarawak, tambahnya, akan mengecualikan bayaran permit dan lesen perniagaan kepada peniaga, penjaja, penjaja pasar malam dan pasar tamu yang berdaftar dengan PBT bagi mengurangkan beban mereka, katanya dengan melibatkan kos RM8.3 juta.

Kerajaan GPS Sarawak mengecualikan bayaran sewa kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi di premis perniagaan milik badan berkanun dan Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri.

“Diskaun 25 peratus akan diberikan kepada taksiran kadar cukai pintu tahunan melabihi RM400 untuk premis kediaman, komersial, industri dan premis pegangan khas mulai Januari hingga Jun 2021. Ini akan memberi manfaat kepada 185,000 premis di PBT sekali gus meringankan beban rakyat dan peniaga. Keseluruhan kos diskaun ini dianggarkan berjumlah RM74.6 juta,” katanya.

Menurut Ketua Menteri lagi, diskaun 50 peratus sewa skim perumahan HDC mulai Januari hingga Jun 2021 dan langkah itu akan memberi manfaat kepada lebih 3,200 penyewa dengan melibatkan kos keseluruhan lebih RM3 juta.

Kerajaan GPS Sarawak, katanya, turut memberi diskaun 30 peratus cukai tanah bagi tahun 2021 yang memberi manfaat kepada lebih 52,400 tempat kediaman, pusat komersial dan industri, perladangan skala besar dan lain-lain kemudahan awam membabitkan kos berjumlah RM11.8 juta.

Abang Johari berkata, Kerajaan GPS Sarawak juga bersetuju mengecualikan pembayaran lesen hotel secara one-off atau sekali kepada 17,300 bilik hotel di seluruh negeri tahun 2021.

“Langkah ini akan memberi manfaat kepada lebih 340 pengusaha hotel dan rumah tumpangan yang melibatkan kos berjumlah RM400,000,” katanya.

Kerajaan GPS bersetuju menangguh pembayaran premium tanah secara one-off bagi tahun 2021 yang memberi manfaat kepada lebih 1,720 pemilik tanah yang merangkumi tahan pertanian, kediaman, komersial dan industri serta institusi awam dan swasta.

Katanya, Kerajaan GPS bersetuju menangguhkan pembayaran skim pinjaman industri kecil dan sederhana (PKS) selama enam bulan mulai Januari hingga Jun 2021.

“Langkah ini akan memberi manfaat kepada 174 peminjam dengan nilai berjumlah RM0.9 juta. Kerajaan Sarawak membantu golongan ini dari sudut kewangan dan pinjaman yang diharapkan dapat membantu mereka meneruskan perniagaan masing-masing,” tegas Ketua Menteri.

Kerajaan sedang membuat kajian untuk menentukan kaedah bantuan kewangan dan pinjaman kepada IKS dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa menerusi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan akan mengeluarkan butiran mengenai bantuan itu dalam masa terdekat, katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti