MAC 2021

Sarawak Sudah Hantar Surat Beli Dos Vaksin - Uggah


KUCHING: Sarawak sudah menghantar surat permohonan secara rasmi kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin untuk membeli dos vaksin Covid-19 sendiri.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu bagi meningkatkan kapasiti bekalan sekali gus memenuhi jadual pemberian vaksin di negeri ini.

Pada masa sama katanya, ia bagi membolehkan rakyat Sarawak mendapatkan vaksin dengan lebih cepat mengikut sasaran menjelang penghujung Ogos depan.

“Kerajaan Sarawak berhasrat untuk membeli dos vaksin Covid-19 sendiri dan oleh itu, saya telah menghantar surat permohonan rasmi mengenai hal itu kepada menteri berkenaan pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media harian Covid-19 Sarawak di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menambah, perjuangan melawan pandemik Covid-19 di negeri ini memerlukan kerjasama dan sokongan tanpa berbelah bagi daripada semua pihak.

Katanya, penyebaran penyakit itu dapat dikawal jika semua orang terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Oleh itu, saya berharap agar semua rakyat terus memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi bagi membendung penularan wabak ini di Sarawak," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti