JUN 2020

Amalan Terbaik SOP Mampu Menghalang Penularan COVID-19 Di Tapak Pembinaan


KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyeru semua kontraktor agar mematuhi contoh amalan terbaik pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya lebih banyak projek pembinaan dapat mula beroperasi sepenuhnya dan memberi impak positif kepada ekonomi negara.

Menteri Kanan Infrastruktur, Dato’ Sri Fadillah Yusof dalam kenyataan media hari ini menjelaskan amalan SOP mampu menghalang penularan wabak COVID-19 di tapak pembinaan dan akan membolehkan projek-projek pembinaan dapat diteruskan.

“Ini penting tegasnya memandangkan sumbangan besar sektor pembinaan yang mencatatkan purata nilai projek sebanyak RM140 billion setahun.

“Ia juga mempunyai nilai gandaan (multiplier effect) sebanyak 2 kali ganda. Ini bermakna, setiap pelaburan RM1 di dalam sektor pembinaan akan membuahkan nilai RM2 atau lebih di dalam 120 aktiviti ekonomi yang berkaitan.

“Justeru, penggiat industri pembinaan mempunyai tanggungjawab penting dalam memastikan semua SOP berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi bagi menjamin keselamatan pekerja dan mengelak penularan jangkitan COVID-19 di tapak pembinaan serta kawasan persekitarannya,” katanya.

Menurut Dato’ Sri Fadillah, hasil lawatan ke Tapak Projek Pembangunan Bercampur TwentyFive Seven di Kota Kemuning pada 3 Jun 2020, menunjukkan pemaju projek serta kontraktor mempunyai keupayaan untuk mematuhi SOP dan melaksanakan projek secara norma baru.

Tambahnya, Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah memeriksa sebanyak 6,363 tapak pembinaan seluruh negara dari 20 April sehingga 2 Jun 2020 di mana dari jumlah tersebut, sebanyak 1,398 (22 peratus) telah mula beroperasi, manakala 4,965 (78 peratus) belum beroperasi.

Dari sejumlah 1,398 tapak yang telah beroperasi, sebanyak 1,118 (80 peratus) didapati mematuhi SOP sementara 272 (19 peratus) didapati tidak patuh dan diberi amaran dan 8 (1 peratus) tapak pembinaan telah diarah tutup. – Edisi UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak