KUCHING: Sarawak kekal sebagai salah satu destinasi pelaburan menarik di negara ini meskipun suasana ekonomi global agak pelahan sejak dua tahun lalu, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata, setakat September 2020, Sarawak menduduki tempat teratas destinasi pelaburan terpilih di Malaysia dari segi pelaburan dan sektor pengilangan bernilai RM15.8 bilion.
Malah semasa pandemik Covid-19, pelabur asing terus mencari peluang melabur di Sarawak dan antaranya ialah Korea Selatan dan China memohon memasuki Sarawak untuk mengadakan kajian kemungkinan, katanya pada perbincangan meja bulat digital dialog peringkat tertinggi hubungan ekonomi Asean Itali.
Awang tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, dari segi perdagangan, Sarawak sentiasa mencatat imbangan positif sejak 1970-an.
“Sungguhpun dalam suasana ekonomi pelahan, Sarawak terus menikmati imbangan dagangan positif. Pasaran eksport utama Sarawak adalah Jepun, Semenanjung Malaysia, China dan Korea,” katanya.
Jumlah eksport Sarawak ke Itali pada 2019 bernilai RM555.107 juta khususnya minyak masak, logam fero manakala Sarawak mengimport barangan jentera dan motor, kimia, traktor dan valve hidorlik untuk sektor minyak dan gas dari Itali pada 2019 bernilai RM207.29 juta, katanya.
Bagi 11 bulan pertama 2020, beliau berkata, nilai eksport Itali berjumlah RM577.9 juta manakala nilai importnya berjumlah RM141.9 juta, katanya dan menambah, peluang dagangan antara Itali dan Sarawak masih luas dan banyak.
Beliau mempelawa peniaga dari Itali supaya bekerja rapat untuk menerokai peluang pelaburan dan perdagangan di kedua-dua wilayah.
Bidang kolobrasi perdagangan itu termasuk dalam sektor bioteknologi, pengilangan peralatan perubatan, automotif, gelas dan produk berteknologi tinggi, teknologi makanan dan pengeluaran perabot bermutu tinggi, tegas beliau.
Sumber dari : Jiwa Bakti