JANUARI 2021

Bekas Kuari Dibangun Semula Menjadi Pusat Komuniti, Innovasi


BATU KAWAH:  Bekas Kuari Ang Cheng Ho di Batu Kawah akan dibangunkan untuk menjadi kawasan rekreasi, komuniti dan pusat inovatif bagi manfaat rakyat di kawasan tersebut, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Datuk Abang Haji Openg.

Beliau berucap sempena upacara pecah tanah projek rakyat Dewan Sukan/Komuniti beserta Hub Innovatif di bekas tapak kuari tersebut pagi ini.

Kuari tersebut tidak lagi diusahakan dan membangunkannya semula merupakan suatu idea yang baik, ujar Datuk Patinggi Abang Haji Johari. 

“Sama seperti Bau yang sudah hampir kehabisan bijih emas, dan kalau adapun sudah tidak ekonomik lagi untuk diusahakan. 

“Minggu lepas saya di Bau untuk merasmikan pembangunan bekas lombong emas, Tasik Biru, sebagai pusat pelancongan,” kata beliau. 

Datuk Patinggi Abang Haji Johari menyatakan Kerajaan GPS mampu melaksanakan pelbagai projek di Kawasan Batu Kawah kerana sokongan kuat rakyat terhadap Kerajaan GPS pimpinan beliau.

Projek tersebut dengan kos RM10 juta akan mempunyai sebuah dewan dengan kapasiti 1,000 orang, kemudahan sukan dan kawasan pejabat berbentuk pusat innovasi untuk pembangunan usahawan dalam kalangan belia setempat. 

projek Batu Kawah tersebut seharusnya mencerminkan usaha Kerajaan Sarawak untuk mentransformasi kawasan Batu Kawah kepada sebuah kawasan berciri modern secara integrasi dengan kawasan lain termasuk Bau. 

Beliau berkata kawasan Batu Kawah telah mengalami pembangunan yang agak pesat dan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Kerajaan sedang berusaha untuk meredakan kesesakan lalu lintas di kawasan Batu Kawah dengan mengwujudkan “laluan ketiga” yang akan menyalurkan trafik ke jalan lingkaran Kuching di mana jajarannya akan melewati kawasan BCCK dengan sebuah jambatan merentasi Sungai Sarawak, jelas beliau.

Beliau menyatakan kawasan Batu Kawah juga akan dimasukkan dalam jajaran ART (Autonomous Rapid Transit) bagi fasa kedua dalam usaha menyediakan sistem pengangkutan awam yang modern dan efisien.

Turut berucap Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga ADUN Batu Kawah.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Lo Khere Chiang yang juga ADUN Batu Kitang.

Sumber dari : Sarawakku