JANUARI 2021

Covid-19: Garis Panduan Pengecualian Kos Kuarantin, Ujian Calitan


KUCHING: Keistimewaan diberikan kepada kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas  dilahirkan di luar Sarawak atau salah seorang ibu bapa rakyat Sarawak, kos kuarantin dan ujian RT-PCR ditanggung kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia merupakan keputusan Garis Panduan Pengecualian Pembayaran Kos Kuarantin dan Ujian RT-PCR Covid-19 menerusi mesyuarat pada hari ini.

“Bagi mereka yang bukan rakyat Sarawak namun pasangan merupakan rakyat di negeri ini, kos tanggungan bilik di pusat kuarantin dan ujian RT-PCR Covid-19 juga akan ditanggung namun perlu menunjukkan bukti surat perkahwinan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 Sarawak, di sini hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, untuk majlis sosial dan rasmi membabitkan perhimpunan orang ramai, hanya dibenarkan 50 peratus mengikut saiz ruang dan penjarakan fizikal. 

Katanya, jika kapasiti sesebuah dewan boleh memuatkan 1,000 orang dalam satu-satu masa, JPBN hanya benarkan 50 peratus bagi kapasiti dewan berkenaan.

“Bagi tempat terbuka pula hanya dibenarkan seramai 200 orang sahaja,” katanya.

Selain itu, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KTP) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan mengeluarkan garis panduan (SOP) pemberitahuan tempat dan lokasi jangkitan kepada orang ramai.

Katanya, KTP juga akan mengeluarkan warta Perintah Perlindungan Kesihatan Awam di bawah Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari hingga 31 Mac ini.

Sumber dari : Jiwa Bakti