MEI 2020

Peruntukan RM315,000 Program Sumbangsih Gawai-Raya


KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak memperuntukkan RM315,000 bagi menyediakan 10,500 kotak makanan Sumbangsih Gawai-Raya kepada petugas barisan hadapan Covid-19.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ekoran penularan Covid-19 pada awal tahun ini, kementerian menambah jumlah sumbangsih itu untuk diagihkan kepada 23 agensi petugas barisan hadapan sebagai menghargai pengorbanan dan jasa mereka.

Antara penerima baharu itu termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMS), Pasukan Gerak Am (PGA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), media, pusat gelandangan, Jabatan Kesihatan, pusat kuarantin, pusat saringan, Jawatankuasa Bencana Bahagian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Ketua Menteri dan agensi petugas barisan hadapan yang lain.

Majlis penyerahan itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Slogan Sumbangsih Raya-Gawai ialah “Packed with Love, Send with Love”.

Menurut Fatimah, selain sumbangsih itu, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) turut menjalakan projek jahitan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan.

Katanya, sebanyak 646 set PPE dijahit membabitkan kos RM12,000.

Sumber dari : Jiwa Bakti