JANUARI 2021

CENTEXS Tawar Program Relevan Khusus Untuk Warga Luar Bandar


KUCHING: Program-program yang ditawarkan di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) menawarkan peluang untuk memperkasakan ilmu dan kemahiran.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol berkata, CENTEXS banyak menawarkan program-program yang relevan khususnya kepada warga di luar bandar.

Justeru ujar beliau, ia dapat memberi peluang dan membantu individu membina semula kemahiran (re-skilling) dan meningkatkan kemahiran (up-skilling) terutamanya bagi individu yang kehilangan kerja berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

“Ini akan memberi peluang kepada mereka. Pandemik COVID-19 sejak tahun lepas, sepanjang tahun 2020, kita melihat ramai anak negeri pulang ke halaman masing-masing dalam keadaan mereka kehilangan kerja,” katanya semasa melakukan lawatan kerja ke CENTEXS pada Isnin.

Sementara itu, beliau memberitahu, penyebaran mengenai program-program yang ditawarkan di CENTEXS perlu diperluaskan dan dipertingkatkan lagi supaya orang ramai mengetahuinya sekaligus dapat menyumbang kepada pembangunan negeri. -EDISI UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak