JUN 2020

COVID-19: Kos Sampel Saringan Rakyat Sarawak Terkandas Ditanggung


KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menanggung sepenuhnya kos pengambilan sampel saringan COVID-19 untuk rakyat Sarawak yang terkandas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sehubungan itu, semua rakyat Sarawak yang terkandas di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan dan tidak dapat mengambil sampel atas sebab-sebab tertentu dibenarkan balik ke Sarawak.

“Sampel saringan COVID-19 mereka akan diambil sebaik sahaja tiba di Sarawak. Kos untuk pengambilan sampel tersebut akan ditanggung oleh kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media COVID-19 di sini hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) berkata, bagi memperhalusi arahan yang telah dikeluarkan semalam (3 Jun) berhubung syarat kemasukan ke Sarawak, bagi mereka yang ada urusan perniagaan, mereka perlu melampirkan jadual pergerakan untuk dipertimbangkan.

“Bagi penjawat awam yang menghadiri mesyuarat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan, mereka perlu mendapat surat pengesahan daripada ketua jabatan dan dalam surat tersebut dinyatakan tarikh bertolak dan kembali ke Sarawak," katanya lagi.

Katanya, bagi kedua-dua kumpulan ini mereka tidak akan dikenakan prosedur operasi standard (SOP) untuk warganegara yang masuk ke Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, mereka dikehendaki mengambil langkah penjagaan kesihatan yang tinggi sebelum, semasa dan selepas urusan.

Uggah berkata, bagi kemasukan pekerja minyak dan gas pula, SOP yang telah dikeluarkan sebelum ini masih digunakan untuk syarat mereka masuk ke Sarawak.

Sumber dari : Jiwa Bakti