JUN 2020

Kerajaan Sarawak Rakam Ucapan Penghargaan Kepada Rakyat Patuhi PKPB


KUCHING: Dengan catatan sifar kes positif COVID-19 selama lapan hari berturut-turut, Kerajaan Sarawak merakamkan ucapan penghargaan kepada rakyat Sarawak atas kerjasama mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pencapaian yang diraih rakyat Sarawak sehingga ke tahap ini merupakan pencapaian bersama hasil sumbangan dari setiap individu.

“Setiap rakyat telah menunjukkan disiplin, kerjasama terhadap pihak berkuasa, kesediaan berkorban keselesaan jangka pendek mereka dan menunjukkan bahawa pentingnya setiap individu memainkan peranan untuk memastikan rantaian COVID-19 diputuskan.

“Pihak Kerajaan merakamkan ucapan penghargaan kepada semua sumbangan yang diberikan,” katanya pada sidang media harian COVID-19, Khamis.

Beliau yang juga Pengerusi Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata kerjasama mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri adalah bukan atas dasar kebimbangan dikompaun sebanyak RM5,000 mahupun di penjara, tetapi atas kesedaran bahawa tanggungjawab menjaga kesihatan adalah tanggungjawab bersama.

“Saya menyeru kepada semua rakyat untuk meneruskan kerjasama dan komitmen bagi memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.

Sumber dari : TVSarawak