KUCHING: Bagi mereka yang ingin memasuki Sarawak atas Urusan Perniagaan, mereka perlu melampirkan jadual pergerakan untuk dipertimbangkan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, keputusan tersebut dibuat bagi memperhalusi arahan yang telah dikeluarkan pada Rabu, 3 Jun 2020 berhubung syarat kemasukan ke Sarawak.
Manakala bagi Penjawat Awam yang menghadiri mesyuarat di Semenanjung, Sabah dan Labuan, mereka perlu mendapatkan surat pengesahan daripada Ketua Jabatan dimana mereka perlu menyatakan tarikh bertolak dan kembali.
“Bagi kedua-dua kumpulan ini mereka tidak akan dikenakan SOP untuk warganegara yang masuk ke Sarawak *(Nota : untuk dihantar ke JPBN melalui http://sdmc.sarawak.gov.my). Walaubagaimanapun, semua pegawai dikehendaki untuk mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan yang tinggi sebelum, semasa dan selepas urusan mereka,” katanya pada satu sidang media, Khamis.
Sementara itu, kos pengambilan sampel bagi rakyat Sarawak yang terkandas di Semenanjung, Sabah dan Labuan akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak di mana sebelum ini mereka dibenarkan balik ke Sarawak dengan syarat mereka akan diambil sampel di Sarawak.
“Kepada semua rakyat Sarawak yang terkandas di Semenanjung, Sabah dan Labuan dan tidak dapat mengambil sampel atas sebab-sebab tertentu mereka dibenarkan balik ke Sarawak dengan syarat mereka akan diambil sampel di Sarawak. Kos untuk pengambilan sampel tersebut akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, bagi kemasukan pekerja Oil & Gas, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan sebelum ini masih terpakai untuk syarat mereka masuk ke Sarawak.
Sumber dari : TVSarawak