KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dalam proses melaksanakan tiga fasa utama projek penambahbaikan konkrit perparitan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk mengatasi masalah banjir kilat di bandaraya Kuching.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, kawasan yang kerap dilanda banjir kilat ialah di Jalan Gartak (Sikh Temple), Balai Polis Sentral, Jalan Mc Dougall (Merdeka Palace) dan (Fata Hotel), Jalan Tun Abang Haji Openg (Taman Budaya) dan beberapa jalan di kawasan Sungai Maong.
"Kerja-kerja penambahbaikan kini sedang dilaksanakan di Jalan Khoo Hun Yeang, di sekitar Padang Merdeka dan di Jalan Masjid serta Lebuh Market," katanya pada sidang media khas di ROTUNDA, Tingkat 4, DBKU di sini hari ini.
Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) berkata, penambahbaikan ‘inlet sump’ atau tempat takungan air juga turut sama dilakukan sebagai langkah awal untuk mengatasi masalah banjir terutama di Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Abang Haji Openg dan Jalan Badaruddin Kuching.
Sementara itu, DBKU akan menganjurkan Program Hari Bebas Kenderaan 'Car Free Day' selepas Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Ia akan diadakan pada setiap Ahad Minggu ke empat, bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi.
"Program ini melibatkan beberapa kawasan seperti tempat letak kereta awam, laluan alternatif trafik dan bas,” katanya sambil menambah terdapat dua pilihan jalan iaitu Jalan Main Bazaar ke Jalan Tun Abdul Razak sejauh 900 meter dan Jalan Satok sejauh 1.3 kilometer.
Pelbagai aktiviti lain juga akan diadakan seperti booth jualan, DBKU On The Move, food trucks, acara sukan, street soccer dan permainan tradisional.
Sumber dari : Jiwa Bakti