JUN 2020

Dato Sri Michael Manyin Puas Hati Persediaan Empat Sekolah Menengah Di Daerah Bau


BAU: Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dato Sri Michael Manyin Jawong berpuas hati dengan persediaan dan persiapan yang dilakukan oleh pihak pengurusan di empat buah sekolah menengah di Daerah Bau.

Sebelum itu, beliau telah melakukan lawatan dan tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paku, SMK Lake, SMK Singai dan SMK Bau di sini hari ini.

Rombongan tinjauan tersebut turut disertai ADUN Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, ADUN Serembu, Miro Simuh, Pengarah Pendidikan Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus dan Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam.

Pemantauan terhadap persiapan pembukaan sekolah adalah bagi memastikan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah dipatuhi.

Tindakan ini penting dalam memastikan keselamatan murid, guru dan warga sekolah dengan mengambil kira langkah-langkah bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan pembukaan semua sesi persekolahan untuk para pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam mulai 24 Jun 2020. -EDISI UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak