JUN 2020

PKPP Bukan Halangan Bekal Air Di Luar Bandar


KUCHING: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tidak menghalang pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk terus menambah baik pelaksanaan projek bekalan air di kawasan luar bandar, kata Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

“Sepanjang tempoh tersebut pelbagai pendekatan diambil Kementerian Utiliti menerusi JBALB.

“Antaranya merangkumi perkongsian maklumat semasa mengenai bekalan air dengan masyarakat awam menerusi rangkaian multimedia.

“JBALB sedang berusaha meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat mengenai bekalan air luar bandar kepada masyarakat awam melalui multimedia.

“Ia adalah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat walaupun semasa PKPP,” katanya yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) setelah mempengerusikan mesyuarat bersama pengurusan JBALB di Kementerian Utiliti baru-baru ini.

Katanya lagi, JBALB diberi tanggungjawab untuk melaksanakan projek penting di seluruh Sarawak sehingga tahun 2025.

“Ia termasuk Projek Rakyat Bekalan Air Luar Bandar dan Projek Bekalan Air Grid Sarawak.

“Projek lain merangkumi Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3,” ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan Sarawak berusaha untuk membekalkan air bersih ke seluruh Sarawak menjelang 2025.

Sumber dari : TVSarawak