JANUARI 2021

Fasiliti Hospital Dinaik Taraf


KUCHING: Kerajaan Sarawak membantu menambah dana kepada makmal molekular kerajaan di Limbang dan Kapit masing-masing sebanyak RM1 juta bagi pelaksanaan ujian saringan PCR Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, ia bertujuan membolehkan ujian saringan dapat dijalankan di hospital-hospital tempatan di negeri ini.

"Selain itu, kerajaan negeri turut menanggung pembiayaan ujian saringan yang dilakukan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Pusat Perubatan Borneo (BMC) dan Gribbles Pathology Malaysia," katanya dalam kenyataan media hari ini selepas lawatan kerja ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Chin Zin Hing, Pengarah HUS, Dr Ngien Hie Ung dan ahli mikrobiologi Dr Amira.

Dr Sim juga menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana meluluskan peruntukan sejumlah RM21 juta bagi menaik taraf fasiliti, peralatan serta makmal hospital kerajaan di Sarawak.

Katanya, kapasiti ujian saringan di Sarawak sebelum ini hanya mampu menguji sebanyak 2,500 sampel sehari. 

Bagaimanapun katanya, dengan peruntukan yang diluluskan, Sarawak kini dapat menguji sehingga 6,000 sampel sehari sekali gus membantu meningkatkan usaha kerajaan dalam mengekang penularan wabak di negara ini.

"KKM juga memperuntukkan dana sebanyak RM36 juta bagi tambahan 29 katil unit rawatan rapi (ICU) dan lain-lain peralatan perubatan kepada Hospital Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti