JANUARI 2021

Pemohon Layak Diberi Keutamaan Baik Pulih Rumah


LAWAS: Kira-kira 199 rumah di Kampung Sungai Bangat di sini dibaik pulih menerusi Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sejumlah RM2 juta dianggarkan untuk melaksanakan projek berkenaan. 

Menurutnya, pihaknya akan terus merancang untuk baik pulih 58 rumah lagi tahun ini yang akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak. 

"Kita akan senaraikan mereka yang perlu diberi keutamaan untuk melaksanakan program ini dan dikendalikan oleh jawatankuasa dan melibatkan agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Pejabat Daerah Lawas," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa Program Walkabout PPRMS dan Projek Jalan Kampung Sungai Bangat, di sini, baru-baru ini.

Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.82 Bukit Sari berkata, wakil rakyat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) diberi RM1 juta setiap tahun bagi melaksanakan program ini. 

"Sehubungan itu, apa yang penting semua ketua masyarakat perlu memberi maklumat penduduk yang perlu diberi keutamaan untuk program ini," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyediakan peruntukan berkenaan. 

Berhubung Jalan Sungai Bangat, Awang Tengah berkata, jalan ini akan dibina baharu dengan jajaran baharu dan akan siap dalam tempoh 18 bulan. 

"Projek bina baharu  jalan sepanjang 2.5 kilometer ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA)," katanya. 

Katanya, pembinaan ini melibatkan tanah orang dan pampasan sudah disediakan. 

"Insya-Allah dalam sedikit masa lagi kita akan serahkan pampasan," katanya. 

Bagaimanapun, projek ini lambat dilaksanakan kerana semasa iaitu prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 di negeri ini. 

Sehubungan itu, siapnya jalan ini akan memberi kemudahan yang lebih baik penduduk selain memberi kelebihan dari segi tarikan pelancongan kerana terdapat kawasan pantai. 

Sementara itu, berhubung Covid-19 beliau menasihatkan penduduk supaya sentiasa berjaga-jaga kerana kes positif semakin meningkat. 

"Saya berharap agar operasi di sempadan diperketatkan dan rakyat perlu bekerjasama dengan kerajaan bagi menangani masalah ini," katanya. 

Selain itu, Awang Tengah turut melawat Surau Kampung Sungai Bangat hingga ke pesisir pantai untuk meninjau sendiri kawasan itu.

Sumber dari : Jiwa Bakti