KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari menerima kunjungan hormat daripada Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) diketuai Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Dr George Chan di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia pagi tadi.
Dalam kunjungan itu, Ketua Menteri diberi penerangan mengenai strategi lima tahun YPS dalam mempromosikan perpaduan dan memupuk keharmonian rakyat Sarawak melalui pertukaran budaya dan pendidikan.
Menurut kenyataan media YPS, pelbagai program bakal diadakan yang akan melibatkan pemimpin dan masyarakat supaya mesej perpaduan dapat disampaikan dengan lebih lancar.
"Selain itu, YPS juga akan menerapkan beberapa program yang dapat memupuk minat masyarakat untuk menghargai budaya dan tradisi tempatan yang juga sebahagian daripada rancangan lima tahun tersebut.
"YPS turut berharap dapat meningkatkan penghayatan silang budaya menerusi penyelidikan budaya di universiti tempatan dan luar negara," kata kenyataan itu.
Mmenerusi kepimpinan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, YPS ditubuhkan pada 1994 sebagai sebuah organisasi untuk memupuk dan mengekalkan perpaduan, keharmonian dan kehidupan bersama dalam kalangan masyarakat Sarawak.
Turut hadir, Jawatankuasa Arah Strategik YPS, Datu Ose Murang dan Ketua Eksekutif YPS, Datu Aloysius J. Dris.
Sumber dari : Jiwa Bakti