KUCHING: Pemilik Tanah Hak Adat (NCR) digesa supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada
Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTSS) bagi memudahkan pelaksanaan proses pengukuran tanah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kerjasama itu bagi memastikan pengukuran tanah secara lot individu dilaksanakan dengan lancar.
“Antaranya termasuk mengenal pasti sempadan tanah dengan membuat rentisan yang jelas, tanah bebas daripada sebarang pertikaian sempadan dan tuntutan serta pemohon menghadirkan diri semasa pengukuran dilaksanakan,” katanya pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bahagian Kuching di sini, hari ini.
Menurut Awang Tengah, setakat ini, sebanyak 35,840 lot individu telah berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 44,607 hektar (110,226 ekar) tanah.
Katanya, program Pengukuran Kampung Tradisional juga masih diteruskan bagi mengiktirafkan kampung yang telah lama wujud sama ada di kawasan yang telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera mahupun belum diwartakan.
“Sebanyak 55,849 lot kediaman daripada 360 kampung di seluruh Sarawak disukat dan daripada jumlah itu, sebanyak 50,517 lot dikeluarkan surat hak milik.
“Pada hari ini pula, sebanyak 221 surat hak milik tanah diserahkan kepada 206 penerima bagi Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, dengan adanya dokumen pemilikan itu, penerima dapat membuktikan persempadanan yang lebih jelas dan tidak ada sesiapa pun yang boleh mempertikaikan pemilikan tersebut.
Awang Tengah merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II berkata, dari tahun 2010 hingga kini, JTSS berjaya menyukat lebih kurang 943,926 hektar (2.332 juta ekar) tanah.
Tambahnya, seluas 753,456 hektar atau 1.8 juta ekar telah pun diwartakan.
“Betapa jauh perbezaan penyukatan melalui program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu 2010 ini berbanding program penyukatan lama.
“Program pengukuran baharu ini lebih efisien dan penting dalam menentukan persempadanan tanah NCR yang jelas serta didaftarkan di Warta Rizab Komunal Bumiputera,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti