NOVEMBER 2020

HGST Cadang Labur RM1 Bilion Di Sama Jaya


KUCHING: Syarikat multinasional yang dimiliki Western Digital, HGST Malaysia Sdn. Bhd. bercadang mahu membesarkan lojinya di estet perindustrian Sama Jaya di sini.

Syarikat itu yang sudah beroperasi selama 25 tahun di Sama Jaya, memperuntukkan RM1 bilion untuk pembesaran loji.

Cadangan syarikat milik rakyat Amerika itu membuktikan keyakinan mereka terhadap pucuk kepimpinan Sarawak meskipun berdepan situasi sukar sekarang.

Pada hari ini, syarikat berkenaan memberi taklimat kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berhubung cadangan syarikat.

Taklimat itu susulan pendedahan Awang Tengah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu mengenai cadangan beberapa syarikat multinasional yang mahu mengembangkan operasi mereka di Sama Jaya.

Pengembangan loji syarikat berkenaan akan menggunakan Industri 4.0 dan memerlukan tambahan 800 tenaga kerja mahir.

Buat masa ini, HGST mempunyai 1,800 pekerja di Sama Jaya dan 10.8% daripadanya ialah pekerja lulusan ijazah sarjana muda dan sarjana, 26.3% pekerja lulusan diploma dan sijil kemahiran manakala selebihnya lulusan SPM.

HGST menjangkakan kerja-kerja pembesaran loji itu akan bermula pada awal 2021.

Hadir sama pada takliamt itu ialah Menteri Muda Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd. Naroden Majais, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian, Datuk Malcol Mussen Lamoh, Setiausaha Tetap MINTRED, Datu Law Soon Eng, Pengarah MIDA Sarawak, Redzuan Abdul Rahman, dan Pengurus Besar Lembaga Air Kuching, Rodziah Mohamad.

Pegawai HGST yang hadir ialah Pengarah Kanan Operasi Sarawak, Chok Siong See, Pengarah Operasi Fasaliti Sarawak, Teo Lian Seng dan Pengarah Kewangan, Raymond Tan.

Sumber dari : Jiwa Bakti