NOVEMBER 2020

Jalan Raya Dibina Demi Kelangsungan Rakyat - Awang Tengah


BELAGA: Sejumlah RM1,419,160.34 diperuntukkan untuk membayar seramai 178 pemilik tanah yang terlibat dalam projek pembinaan dan naik taraf jalan di sini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 34 cek pampasan berjumlah RM267,449.90 diserahkan kepada 28 pemilik tanah terlibat dalam projek jalan masuk ke Uma Sambop Belaga.

Seramai tiga penerima pampasan projek Jalan Bakun Bypass berjumlah RM27,540.20 dan sebanyak 160 cek pampasan berjumlah RM1,124,170.24 diserahkan kepada 150 pemilik tanah terlibat dalam projek naik taraf pembinaan Jalan Belaga ke Menjawah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penyerahan cek pampasan ini jelas membuktikan kerajaan tidak mengambil tanah percuma tetapi  membayar pampasan mengikut undang-undang selaras dalam peruntukan Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. 

“Sepertimana yang kita lihat pelbagai projek pembangunan infrastruktur diluluskan dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan. Antaranya ialah kerja-kerja menaik taraf jalan pesisir, pelaksanaan projek jalan utama kedua, jambatan yang telah dan sedang dibina serta banyak lagi projek lain.

“Kesemua projek pembangunan ini untuk rakyat dengan melibatkan pengambilan tanah penduduk. Kerajaan tidak mengambil tanah ini dengan percuma, sebaliknya membayar pampasan dengan mengikut undang-undang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah dan Surat Hakmilik Tanah Di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bahagian Kapit di Dewan Masyarakat Belaga, hari ini. 

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, berkata, rancangan pembangunan seperti pembinaan  jalan raya dilakukan atas faktor keperluan rakyat kawasan tersebut. 

“Ia jelas membuktikan segala yang telah dirancang oleh Kerajaan Sarawak pasti dilaksanakan demi kesenangan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan itu juga memberitahu, Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf hak rakyat terhadap tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sekiranya tuntutan mereka (rakyat) sahih mengikut perundangan. 

“Justeru. kerajaan telah memperkenalkan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu 2010 bagi mempercepatkan proses penyukatan tanah.

“Usaha ini bagi memastikan pemilik tanah NCR mempunyai dokumen pemilikan, persempadanan yang jelas dan tidak akan diceroboh,” ujarnya lagi.

Turut hadir ialah Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Datuk Liwan Lagang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Residen Bahagian Kapit, Nyurak Keti, Pegawai Daerah Belaga, Juan Ubit, wakil Jabatan Tanah dan Survei (JTS) serta yang lain.

Sumber dari : Jiwa Bakti