MIRI, Rabu: Kerajaan Sarawak bersedia membantu persatuan daripada pelbagai kaum sebagai usaha untuk terus memperkukuhkan perpaduan pelbagai kaum dan agama di Sarawak, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg di sini malam tadi.
Melalui UNIFOR terbukti Kerajaan GPS memang menitikberatkan perpaduan antara agama dan kaum sebagai tunjang untuk memajukan Sarawak, ujar beliau dalam sempena majlis ringkas untuk menyerahkan geran Kerajaan Sarawak bernilai RM4.5 juta kepada Persatuan Melayu Miri.
Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara kagum dengan usaha Sarawak melalui UNIFOR dan menterinya bercadang untuk membawa konsep UNIFOR untuk dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong.
Datuk Patinggi Abang Jo menjelaskan geran berkenaan kepada Persatuan Melayu Miri adalah untuk tujuan membina bangunan persatuan tersebut sebagai simbol perpaduan masyarakat Melayu di kawasan Miri.
Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada kos untuk membina bangunan persatuan tersebut, jelas beliau.
Datuk Patinggi Abang Jo menyatakan bantuan juga dihulurkan kepada masyarakat Orang Ulu melalui FORUM yang juga akan mempunyai bangunan sendiri di sini.
Masyarakat lain di sini seperti Kedayan dan Jati Miriek juga mendapat perhatian Kerajaan GPS, ujar beliau.
Bagi masyarakat Dayak pula, Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Sarawak Dayak Graduate Association (SGDS) adalah antara persatuan yang menerima bantuan Kerajaan, tambah beliau.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan, menteri-menteri muda dan ADUN.
Sumber dari : Sarawakku