FEBRUARI 2021

Hanya Majlis Pecah Tanah Ditangguh, Jambatan Batang Lupar Giat Dijalan


SEBUYAU: Projek pembinaan Jambatan Batang Lupar bernilai RM848 juta kini giat dijalankan, kata Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi.

Menurutnya, ramai masyarakat keliru berhubung dan beranggapan projek itu ditangguhkan berikutan Majlis Perasmian Pecah Tanah Jambatan Batang Lupar yang sepatutnya diadakan 18 Februari 2021 lalu ditangguhkan.

"Hanya majlis itu sahaja ditangguhkan bagi mengelak penularan Covid-19, namun pembinaaan jambatan tersebut giat dilaksanakan kontraktor bertanggungjawab," katanya semasa mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan, di sini hari ini.

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.27 Sebuyau berkata, surat setuju terima diberikan kepada kontraktor bertanggungjawab pada 10 Disember 2020 lalu dan pelaksanaan projek ini sudah dimulai sejak 7 Januari 2021.

"Sehubungan itu, kerajaan tidak pernah menangguh dan membatalkan projek kerana ia sudah dianugerahkan kepada kontraktor untuk melaksanakannya," katanya.

Sementara itu, berhubung pembinaaan jalan pesisir, Julaihi berkata jambatan sepanjang 896 kilometer membabitkan kos RM5 bilion itu ditanggung sepenuhnya Kerajaan Sarawak.

"Pembinaan jalan pesisir ini melibatkan tiga komponen iaitu, membina semua jambatan untuk menggantikan perkhidmatan feri,  bina laluan terputus iaitu yang tiada jalan raya termasuk jambatan dan menaik taraf jalan pesisir yang ada sekarang," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti