FEBRUARI 2021

Pelan Strategik TDM 2021 - 2025 Tingkatkan Keupayaan Pertahanan


BAU: Satu pertiga daripada kekuatan Tentera Darat Malaysia (TDM) digerakkan bagi meningkatkan keupayaan pertahanan khasnya di Sabah dan Sarawak.

Panglima TDM, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, kekuatan itu melibatkan sumber manusia, penstrukturan dan penyerahan aset-aset operasi.

Menurutnya, ia selaras dalam Pelan Strategik TDM dalam tempoh lima tahun iaitu 2021 hingga 2025 bagi menyeimbangkan kekuatan pasukan itu di Semenanjung dengan wilayah Sabah dan Sarawak.

"Sehubungan itu, dalam pelan strategik berkenaan kita menetapkan keseluruhan TDM dua pertiga di Semenanjung manakala satu pertiga di Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Aset Op Benteng Pemerintahan Medan Timur di Serikin, di sini hari ini.

Hadir sama Panglima Medan Timur TDM Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

Berhubung aset baharu diterima seperti pikap, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan, motosikal lasak dan dron hari ini, ia sesuai dan menepati keperluan operasi kawasan sukar sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan Barat.

"Kita boleh menggunakan sepenuhnya anggota rondaan dengan berjalan kaki, namun pergerakan mereka sukar.

"Sehubungan itu, menerusi kemudahan aset baharu ini ia bukan sahaja memudahkan pergerakan, malah mampu melaksanakan operasi dengan lebih berkesan," katanya tanpa memberitahu bilangan aset yang disampaikan.

Justeru, beliau percaya melalui aset baharu itu, lebih banyak kejayaan akan dicapai dalam Op Benteng yang dilaksanakan.

Sementara itu, Zamrose berkata Kerajaan Sarawak turut meluluskan tapak dan kerja pembinaan bagi penambahan empat lagi pos kawalan sempadan di Sarawak.

Katanya, penambahan empat pos itu menjadikan jumlah keseluruhan pos di negeri ini sebanyak 19 pos.

Beliau menyatakan pembinaan pos itu sudah dimulakan dan akan siap menjelang Ogos tahun ini.

Sumber dari : Jiwa Bakti