BINTULU: Pembinaan Skim Perumahan Mampu Milik Sri Pertiwi Tanjung Kidurong pendekatan bijak dalam membantu golongan sasar memiliki kediaman sendiri.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ekoran harga rumah yang tinggi khususnya yang dikendalikan oleh pihak pemaju swasta menyebabkan ramai golongan muda tidak dapat membeli rumah.
Bagi membantu golongan sasar memiliki kediaman pertama, kerajaan telah menetapkan harga rumah tidak melebihi RM300,000 seunit.
“Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri, Kementerian Perumahan memperkenalkan skim pinjaman perumahan baharu iaitu Skim Pinjaman Perumahan Mutiara,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Skim Perumahan Mampu Milik Sri Pertiwi Tanjung Kidurong, di Bintulu.
Menerusi inisiatif yang diperkenalkan itu, Abang Johari berkata, pembeli boleh memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman perumahan dari 15 ke 25 tahun. Kadar bayaran bulanan rendah dan tidak membebankan pembeli.
Skim Perumahan Mampu Milik Sri Pertiwi Tanjung Kidurong akan menyediakan 402 unit rumah teres satu tingkat di kawasan seluas 30.50 ekar dan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2023.
Skim ini merangkumi pembinaan 366 unit rumah Sri Pertiwi dengan keluasan lantai 910.00 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.
Turut dibina 36 unit rumah kategori pertengahan SPEKTRA dengan luas lantai 755.00 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur dan sebuah bilik air.
Projek ini akan dilaksana oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dengan Syarikat Johabaru melalui syarikat usahasama,iaitu BDA-Johabaru Realty Sdn. Bhd. dengan BDA memiliki 55 peratus dan Johabaru 44 peratus daripada hak milik syarikat ini.
Sumber dari : Jiwa Bakti