PUSA: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mendorong seramai 64 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pusa yang juga calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini dengan menyediakan ‘bajet’ untuk menghiasi bangunan sekolah menerusi aktiviti melukis bendera negeri-negeri dalam Malaysia.
Guru Besarnya Sulaiman Meni memberitahu, aktiviti ini merupakan salah satu program pasca UPSR yang telah disusun atur dalam takwim sekolah 2018 untuk mengisi masa murid Tahun Enam yang baru selesai menempuh UPSR minggu lalu.
Katanya, ia bertujuan mendedahkan murid tentang negeri-negeri yang ada di dalam Malaysia.
Selain itu, sebagai usaha menonjolkan bakat mereka daripada sudut seni lukisan dan dalam masa yang sama menceriakan kawasan sekolah.
Jelas Sulaiman, berjayanya program ini hasil komitmen semua guru Tahun Enam yang diketuai Penolong Kanan Pentadbiran Zauzi Mohamad Sah dan sokongan PIBG khususnya dalam menyediakan perbelanjaan.
Begitu juga dorongan moral dan khidmat nasihat Pegawai Pendidikan Daerah Betong dan rakan-rakan.