OKTOBER 2018

Obor-obor merah landa Pulau Bruit, beri rezeki kepada nelayan


PULAU BRUIT: Musim obor-obor merah kembali menyerang perairan Pulau Bruit hari ini sekali gus memberi pulangan lumayan kepada nelayan sekitar pulau ini.

Antara perkampungan nelayan Pulau Bruit yang meraih obor-obor merah ialah Kampung Betanak, Tekajong, Penipah, Salah Kechil, Penibong, Penuai dan Sebako.

Seorang nelayan, Zamri Mohamad, 48, berkata musim obor-obor merah adalah peluang nelayan meraih rezeki berbanding biasa.

Katanya, setiap kali musim obor-obor merah melanda di perairan pulau itu, nelayan mula turun ke laut.

“Sejak awal pagi lagi, nelayan akan turun ke laut beramai-ramai untuk menangkap obor-obor merah.

“Musim obor-obor merah juga merupakan tangkapan paling banyak sehingga mencecah ratusan ringgit setiap hari,” katanya kepada Jiwa Bakti.

Menurut Zamri, musim obor-obor merah bukan sahaja rezeki buat nelayan malah penduduk berpeluang menjana pendapatan lebih.

“Kami menyifatkan musim obor-obor merah merupakan peluang untuk nelayan meraih hasil tangkapan yang banyak.

“Malah, musim obor-obor merah juga turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar khususnya golongan muda,” katanya.

Tambahnya, hasil tangkapan obor-obor merah dari laut terus dijual ke kilang pemprosesan obor-obor merah di Pulau Bruit.

“Kebanyakan obor-obor merah hasil tangkapan nelayan dari laut terus dijual kepada pemilik kilang di sini.

“Setiap hasil rezeki yang diperolehi ia sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan seharian keluarga dan anak-anak ke sekolah,” katanya.